Monday, November 09, 2009

And as our lives changed, come whatever
We will still be friends forever


Sungguh hampir sempurna hujung minggu lalu. Hendak dikatakan sempurna, banyak lagi yang boleh ditambah tolak untuk menjadikan ia lebih baik, lalu cukuplah saya katakan ia hampir sempurna. Hujung minggu yang sarat dengan gembira dan cinta. Sehingga saya rasa mahu menitis air mata apabila terpaksa bangun di hari Isnin yang muram untuk bergegas ke Mahkamah pemakan jiwa.

Bertemu keluarga yang saya rindu dan kasih sepenuh hati adalah tentunya perkara paling bermakna tentang hujung minggu itu. Juga tentunya pertemuan semula STF959 yang dinanti-nanti.

Betul, seperti yang
Ayin dan Ayuni tahu, pada mulanya ada ‘perkara’ yang mengganggu saya tentang pertemuan itu, tapi saya gagahkan diri dan ketepikan perasaan hitam, lalu saya hadirkan diri dengan rasa ceria dan bahagia. Saya berterima kasih pada diri sendiri untuk itu. Tentu, pertemuan itu boleh jadi sempurna jika saya tidak terbeban dengan ‘perkara’ itu, juga jika Ayin yang saya rindui dapat turut serta.

Setinggi penghargaan buat para urusetia yang menjadikan pertemuan semula selepas 10 tahun itu berjaya. Saya yakin ia bukan kerja enteng untuk mengumpulkan 117 manusia yang ada di sini sana. Lalu apabila berjaya mengumpulkan lebih separuh dari jumlah itu, saya rasa para urusetia perlu dihargai setingginya. Kenapa saya menulis dalam Bahasa Melayu terlalu formal, sayapun tak tahu kenapa. Layankan saja saya.

10 tahun dulu sebelum tinggalkan sekolah, kita bersiul-siul satu-lagu-berjaya oleh Vitamin C; apa kita akan jadi selepas beberapa lama? Akan berjayakah kita? Adakah lawak-lawak kosong kita ketika zaman hingusan dulu akan masih kita hargai seusai remaja? Mampukah kita hadapi dunia luar yang mencabar? Akan ingatkah kita akan gemilang masa silam?

10 tahun kemudian, di usia 27, kita bertemu semula. Dalam nada yang cukup berbeza. Dengan perubahan dan perkembangan hidup yang cukup ketara. Berkongsi kegembiraan masa silam yang belum pudar. Mempamer kejayaan dan kebahagiaan masa kini yang dikagumi bersama. Pertemuan singkat itu cukup menyeronokkan. Penuh ketawa dan sarat dengan persahabatan.

Saya kira, selepas 10 tahun, semuanya jadi lebih istimewa. Kita sudah lupa apa yang bezakan kita. Kita hanya syukuri bahawa ada sesuatu yang satukan kita; kita berasal dari rumpun srikandi yang sama. Dan saya mensyukuri saya diberi nikmat sedemikian rupa.

[Kredit gambar: Ayuni yang saya kasihi. Suntingan oleh saya.]


Kawan-kawan, terima kasih atas 2 jam yang menyeronokkan dan membangkitkan rasa. Saya sayanglah anda semua!

No comments: