Friday, October 30, 2009

Kata Pujangga: "Sesuatu khayalan kadang kala menjadi realiti."


Alangkah indahnya kalau sedang keluar mengetik kamera merakam subjek-subjek indah. Matahari sedang bersinar cantik, maka tentu gambar akan cantik tanpa usaha keterlaluan. Tapi tak mahulah ada rasa bahang; mahu matahari terik memancar tapi juga mahu dingin yang memberi selesa. Ya tentulah itu bukan seperti di Malaysia. Lalu siapa mahu belanja saya ke Australia saya dahului dengan ucapan terima kasih dan saya berjanji saya akan ketik gambar subjek indah banyak-banyak sebagai balasannya.

Alangkah indahnya kalau sedang berbaring di atas rumput wangi sambil membaca sesuatu yang menyentuh jiwa. Lebih indah jika rumput wangi itu adalah sebahagian dari laman rumah sendiri dalam suasana dingin tapi cerah. Ya, masih bukan Malaysia nampaknya. Suami, mari berhijrah?

Alangkah indahnya jika sedang berbuai-buai; membuai diri tinggi mencecah ke langit biru, tanpa bimbang tentang segala yang di bumi. Wajah mendongak ke langit di mana matahari sedang gagah memberi cahaya dengan angin sepoi-sepoi menyapa seluruh pelusuk diri. Lebih indah jika dapat membuai diri laman rumah sendiri, di mana bebas berteriak gembira menghayun diri sambil rambut berterbangan girang.

Alangkah indahnya jika dapat berbaring di atas tilam empuk dalam suasana remang lampu kuning dan sejuk pendingin hawa. Lebih indah jika tiada gangguan panggilan telefon dari pejabat atau hilai tawa anak jiran-jiran atau ya, lebih indah jika berbaring tenang tanpa sebarang masalah di jiwa.

Alangkah indahnya kalau sedang berlari-lari di pantai berpasir mulus dan berlaut biru dengan angin menghembus manja. Udara masin laut dan jerit pekik ombak yang anehnya cukup mententeramkan jiwa. Berlari-lari dengan yang tercinta, mengejar layang-layang yang terbang tinggi di atas sana, dengan rasa cemburu pada layang-layang itu yang begitu beruntung hidupnya dapat terbang ke sana ke mari dengan girang tanpa duka.

Hidup memang bukan sentiasa yang indah-indah saja tapi saya kira, itulah yang menjadikan hidup ini begitu hebat dan istimewa.


* Percubaan menulis penuh dalam Bahasa Melayu tanpa perkataan pasar kerana merasa malu apabila
seseorang ini menyifatkan karangan-karangan picisan saya sebagai penulisan yang baik. Sungguh saya malu tapi terharu.

* Oh ya, dan gambar-gambar indah tentulah dari Kami Cinta Ia.

No comments: