Thursday, December 18, 2008

Thank God I found you, I was lost without you
My every wish and every dream somehow became reality
When you brought the sunlight completed my whole life
I'm overwhelmed with gratitude
’Cause baby I'm so thankful I found you


Kalau saya dalam perjalanan balik antara jam 6.30 hingga 7, ada satu rancangan yang saya suka dengar, dari radio Batam, Indonesia. Untuk orang JB, gelombangnya di 101.6. Rancangan tazkirah yang tajuknya Spiritual something, something (saya selalu tak ingat tajuknya) yang dipersembahkan dengan gaya moden dan menarik.

Penyampai tazkirah (yang suaranya menggetarkan) akan mengupas lagu-lagu terkini (bukan nasyid tau) dan diintrepretasikan secara dakwah. Contoh kupasan yang pernah saya dengar ialah lagu Hadapi Dengan Senyuman (Dewa 19); tazkirahnya tentang ujian-ujian yang Allah berikan untuk menguji keimanan. Juga lagu Wanita (3 Diva); tentang pengorbanan wanita solehah. Kupasan lagu One Last Cry (Bryan McKnight) pula tentang saat-saat menghadapi kematian. Menarik, bukan? Tambah menarik kerana susunan dan lenggok bahasanya sungguh indah di pendengaran saya.

Semalam pula saya dengar kupasan lagu Thank God I Found You (Mariah Carey & 98 Degrees). Tazkirahnya tentang pada satu hari, penyampai bertemu seorang anak kecil penjaja kuih. Kuihnya 500 Rupiah saja, tapi penyampai tak beli lalu dia kesal sebab dia nampak anak kecil itu sungguh letih dan sedih. Tiba-tiba penyampai nampak ada seorang lelaki beri 10,000 Rupiah pada anak kecil itu, sedekah. Anak kecil itu terima, tapi kemudiannya disedekahkan wang itu kepada sepasang pengemis lain.

Lalu lelaki itu panggil anak kecil itu semula dan bertanya kenapa diberikan kepada orang lain wang itu. Lalu jawab anak kecil itu, “Pak, Ibu saya bilang, enggak boleh mengemis. Kalau mahu uwang, mesti mahu kerja, mesti jual kuih.” Kata penyampai, bergetar hatinya mendengar jawapan anak kecil itu. Jawab lelaki itu, “Tapi kan memang aku ini bersedekah buat kamu?” Jawab budak itu lagi, "Tapi jika saya terima sedekah itu kan sama saja dengan mengemis? Kerana saya ini kan sihat, boleh bekerja.” Lalu kata penyampai itu, “Berdesirlah hati saya dengan keinsafan kerana betapa dalam keadaannya yang sukar itu, dia masih bertahan teguh dengan prinsip yang ditanam oleh ibundanya”. Hati saya juga berdesir. Dan saya tersenyum bila saya tahu lelaki itu kemudiannya beli semua kuih itu untuk 20,000 Rupiah.

Saya senyum kerana: (1) saya kagum dengan ketebalan pegangan anak kecil itu; (2) saya suka lelaki itu yang hormat pada pegangan kanak-kanak itu; dan (3) saya suka kerana penyampai menggunakan perkataan “berdesirlah hati saya” kerana itu juga yang saya rasakan.


Selingan kartun comel:



Moral: (1) Mesti mahu kerja. Jangan harapkan orang lain. (2) Setiap orang yang kita jumpa mungkin boleh mengingatkan kita tentang sifat mahmudah yang sepatutnya kita suburkan. (3) Saya suka ayat “berdesirlah hati saya”. Tidak sabar mahu dengar tazkirah hari ini pula!

No comments: