lest you forget how much you love the beach.
Lega, baru pulang dari Rumah Terbuka serta telah usai satu kerja. Sebelum bersambung ke kerja satu lagi, izinkan saya berehat dan mengetik papan kunci untuk tujuan rekreasi pula. Asalnya saya ingin menulis tentang perkara-perkara yang menggembirakan saya ketika zaman kanak-kanak, tetapi terlalu banyak pula; saya kira ia perlu masa yag panjang untuk dikarang. Lalu saya akan menulis tentang beberapa perkara yang saya gemari ketika saya kecil dan masih saya gemari kini.
Satu: Pantai. Arwah Tok Wan saya ada satu ‘ritual’ untuk setiap cucunya. Selepas kami menginjak umur setahun, kami akan dibawanya ke Batu Feringhi dan mencelupkan kaki kami ke air laut, supaya kami semua akan suka pada laut. Mungkin kerana itu, dari kecil saya suka ciptaan Tuhan itu.
Tetapi kekerapan bermimpi malapetaka melibatkan pantai membuatkan saya kini sedikit takut dengannya. Saya takut berjalan-jalan di pantai lama-lama ketika air surut; bimbang air pasang secara tiba-tiba dan saya tidak sempat lari ke daratan. Saya takut berada di laut dengan daratan tidak kelihatan; bimbang tidak dapat pulang. Saya juga takut dengan desiran ganas di pantai; bimbang jika itu adalah bisikan tsunami. Jadi kini saya punya hubungan cinta-benci dengan lautan dan pantai.
Dua: Buku. Saya jadi hairan bila bertemu dengan individu yang tidak suka membaca. Setidak-tidaknya, perlulah baca surat khabar? Atau blog, mungkin? Saya jenis yang terliur jika nampak apa-apa bahan bacaan; saya perlu perlu perlu membacanya.
Kecil-kecil dahulu, saya kumpul duit belanja yang ibu beri untuk ke koop sekolah membeli karya-karya alih bahasa Enid Blyton. Sehingga sekarang, buku Pokok Ajaib dan Pulau Rahsia masih tidak pernah gagal membikin saya senyum. Saya ingat lagi, setiap hari Ahad, saya akan ikut bapa ke satu pasar tani di Gombak, ada seorang pakcik tua menjual buku-buku DBP dengan harga yang murah. Ada satu buku yang saya pernah beli di situ tajuknya Inai, kisah tentang gadis anak nelayan, saya suka betul dengannya. Jenis buku yang saya gemar berevolusi mengikut usia saya. Besar sikit, baca Creative Enterprise pula. Di sekolah menengah, saya lebih kerap membaca buku aliran Bahasa Inggeris pula, sehinggalah sekarang.
Tiga: Makan bersama ibubapa saya. Ketika inilah selalunya mood masing-masing ceria dan selalunya adalah masa bertukar-tukar cerita. Terutamanya sarapan pagi. Saya rasa rugi jika tak dapat bersarapan dengan ibubapa saya. Ia mungkin hanya suatu aktiviti harian biasa, tetapi ia adalah antara aktiviti yang paling saya gemari dari kecil. Bermakna, bagi saya.
Empat: Rancangan anugerah. Saya rasa saya pernah beritahu mengapa saya suka rancangan anugerah. Kerana saya suka melihat penat lelah dihargai dan kejayaan disambut. Juga, saya suka mendengar ucapan penghargaan (ini teraplikasi untuk rancangan anugerah dari luar sahaja; kita di sini seperti tidak tahu menyusun ayat penghargaan yang boleh menerbitkan emosi. Rakyat Malaysia kurang berekspresi, mungkin?) Tapi saya tidak tahu mengapa saya suka ketika saya kecil, yang pastinya, saya suka. Mungkin kerana penuh glam and glitz and joy.
Lima: Memberi hadiah. Dari kecil saya akan berusaha agar keluarga dan teman-teman baik saya terima hadiah untuk hari lahir mereka.
Saya pasti ini adalah satu sifat mahmudah yang diturunkan oleh ibubapa saya yang tidak pernah lokek memberi hadiah kepada saya dan adik. Keputusan peperiksaan Top 3, dapat hadiah. Hari lahir, tentu dapat hadiah. Hari raya, dapat hadiah/duit. Bapa dapat bonus, dapat hadiah/duit. Jadi, tentunya saya terkesan.
Cukuplah setakat ini dulu. Nanti saya mengarang lagi. Mahu sambung mengetik papan kunci untuk tujuan saya dibayar di Firma ini. Ngeee.
No comments:
Post a Comment