Wednesday, November 12, 2008

"The place where optimism most flourishes is the lunatic asylum"
- Havelock Ellis, The Dance of Life, 1923



Ada beberapa perkara di sekeliling saya yang saya suka dalam rutin harian saya. Sebenarnya banyak juga, tapi ada 6 yang saya ingin kongsi hari ini:

1. Saya suka menonton FRIENDS sambil bersarapan pagi-pagi. Komedi 30 minit kegemaran saya itu memang pemangkin keceriaanlah.

2. Saya suka betul memandu ke pejabat/Mahkamah, kerana saya lalu jalan tepi laut. Tentu, Pantai Lido ini lautnya tidaklah biru dan pantainya bukanlah berpasir putih, tapi ia tetap laut, yang mendamaikan dan menyejukkan mata. Jadi saya suka. Kadang-kadang petang-petang, jalan itu sedikit sesak berbanding jalan sebelah Istana (yang juga menarik kerana melalui taman Di Raja), tapi tetap saya tempuh bila saya perlu mencuri ketenangan dari laut tanpa ombak itu. Alah, lagipun saya dah terbiasa dengan kesesakan Kuala Lumpur, sesak di JB ini terasa apalah sangat. Heh.

3. Saya suka jam 10 pagi dan 4 petang kerana ketika itu, Nescafe panas akan tiba. Bila saya dengar bunyi troli Tea Lady itu, saya terus rasa gembira.

4. Saya suka pula ada teman sebilik; boleh mengadu, boleh bergossip dan boleh bersembang bila mengantuk dan/atau malas. Syukur ditempatkan dengan manusia sekepala. Saya yakin ini pelan Tuhan untuk mempermudahkan transisi saya di Firma ini.

5. Saya suka YM diwajibkan di Firma ini. Boleh juga berbual-bual dengan rakan-rakan bila mengantuk dan/atau malas. Juga suka di sini ada Internet connection yang pantas; boleh kemas kini blog, baca blog dan sebagainya.

6. Saya suka bila kadang-kadang saya dan suami makan malam di luar selepas waktu kerja. Atau makan di café tepi pool bawah rumah juga seronok. Saya rasa seperti zaman dating dahulu kala.


Rutin boleh jadi sesuatu yang membosankan. Tapi bukankah terpulang pada kita sendiri, untuk cuba cari perkara-perkara menggembirakan dalam rutin itu? Sebab jika tidak, hari-hari kita akan terasa seperti terbuang begitu sahaja. Itu sayalah. Ada seorang kawan saya pernah kata pada saya, “your positive outlook on the world makes the world work out very nicely for you” (ya, saya ingat bait ayatnya sebab begitu indah).

[Terima kasih sekali lagi, Cartoon Stock]


Tapi saya rasa tiada apa yang istimewa tentang sikap positif itu, semua orang mampu menjadi begitu. Antara mahu atau tidak saja. Malah bukankah sikap positif amat dituntut dalam Islam? Saya bertemu Sabda Rasulullah: "Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya" (Hadis riwayat Muslim)

Jadi, hari ini, cuba cari perkara yang anda suka dalam rutin harian anda, bersyukurlah kerana kewujudannya, dan kongsikanlah dengan saya :)

No comments: