Thursday, September 11, 2008

Bukankah bulat air kerana pembentung?



Saya baru selesai membaca Pohon Maaf Versi 1.0 dan Versi 2.0 di laman Chedet. Seperti biasa, saya rasa beliau memang seorang penulis yang cukup baik. Benarkanlah saya mengagumi individu berotak kiri-kanan itu, tanpa mengaitkan saya dengan mana-mana sayap politik.

Kekecohan tentang isu perkauman ini mengingatkan saya kepada teman baik saya ketika di Darjah 6, Hoi Won Sie. Ketika kami mengikuti lawatan sekolah ke FRIM, kami disuruh oleh cikgu untuk berpegangan tangan supaya tidak hilang. Dia merajuk kerana saya enggan memegang tangannya. Saya memilih untuk berjalan dengan 2 teman baik saya yang lain, Zafira dan Yong Teng Siew. Kemudian Won Sie bertanya, “Kenapa awak tak nak pegang tangan kita? Sebab kita makan babi, ya?” Saya sungguh terkejut. Tapi saya tak ingat apa saya jawab. Mungkin saya tak jawab, sebab kemudiannya Won Sie cakap, “Yong pun makan babi jugak. Kenapa awak pegang tangan dia?”

Saya tahu ini tidak relevan dengan kekecohan masa kini. Tapi saya suka betul zaman sekolah rendah, di mana saya ada kawan dari semua bangsa, malah saya sebenarnya tak sedarpun mereka tu bangsa lain, melainkan pada hari perayaan. Beraya Aidilfitri di rumah saya. Beraya Cina di rumah Won Sie, Yong dan Chu Xiao Pei. Beraya Krismas di rumah Geraldine (kami suka sekali kerana rumahnya sangat cantik ketika Krismas; ada pokok krismas, ada candies, ada presents) Pernah juga beraya Deepavali di rumah Nirmal, budak lelaki yang baik tapi saya menyampah sebab suka mengusik.

Bersekolah di sekolah asrama penuh, seterusnya ke universiti bumiputra dan seterusnya bekerja di firma-firma yang dipelopori Melayu, telah menyebabkan lingkungan saya menjadi sungguh Melayu. Sedangkan arwah nenek saya ialah seorang Cina dari negara China? Serta keturunan bapa saya, bukanlah Melayu sangat?



Maaflah jika anda tidak setuju, tapi saya mahukan suatu Bangsa Malaysia, berkongsi dan berusaha bersama, tanpa pecah belah, tanpa perlu membangkitkan sentimen bangsa. Negara kita perlukan kita, jangan sampai ia tergadai. Tetapi tentu, janganlah sehingga membelakangi Agama dan Adat masing-masing. Sekadar menjadi Bangsa Malaysia di jiwa, bersatu untuk negara ini, apalah salahnya? Sukar sangatkah?

No comments: