Tanya sama hati, apa sebab sayang?
Adakah tandanya nampak di pandang?
Adakah tandanya nampak di pandang?
Ya, entri kedua hari ini. Saya ingin menulis tentang cinta. Klise saya tahu. Biarkan saya. Walaupun saya seorang yang mempercayai sepenuhnya kuasa dan magis cinta, yang memberikan pelangi di hari yang cerah dan bintang di malam yang dingin, yang menerbitkan cahaya pada wajah, yang mendatangkan rerama di dalam dada tetapi selesa di dalam jiwa, yang membuat hati terasa tidak tertampung akan kelambakan cinta itu, yang memberi kekuatan dalam menghadapi hari, yang memberi keindahan luar biasa pada perkara biasa, seolah-olah semua lagu cinta bercerita tentangnya (err saya percaya maksud saya telah sampai), saya tidak percaya bahawa…
… terdapatnya cinta pandang pertama. Tarikan pandang pertama mungkin. Tapi tidak cinta. Tidak mengapalah jika saya salah;
… cinta itu membuang rasional. Bahawa jika masih rasional dalam bercinta, itu belum cinta yang luar biasa (kerana saya pernah membaca pendapat sebegitu). Rasional harus sentiasa ada pada setiap manusia. Cintalah sepenuh hatimu, tapi jangan dibuang rasional itu. Kerana kita adalah hambaNya. Bukan hamba cinta. Tidak mengapalah jika saya salah;
… cinta itu memerlukan kita mengorbankan segalanya. Cinta itu toleransi, bukankah? Tidak mengapalah jika saya salah;
Kerana di akhirnya, hanya cinta pada Tuhan lah cinta yang kekal dan sejati. Ya, saya mengakhiri penulisan ini dengan gaya penulisan hari Jumaat, hari saya memuhasabah dan menasihati diri :)
No comments:
Post a Comment